Rahsia Perniagaan dan Pemasaran
di Facebook
Semakin ramai orang
Malaysia yang berniaga di Facebook. Ada yang dapat untung besar, ada yang dapat
hasil suam-suam kuku dan ada juga yang gagal mendapat sebarang hasil yang
memuaskan.
Kata bijak pandai, kejayaan
ada caranya, kegagalan ada sebabnya. Dalam artikel ini, kita akan perhalusi
satu faktor kejayaan dalam perniagaan di Facebook, iaitu “fokus”.
Fokus bermaksud tidak
melakukan perkara yang tidak berkaitan dan yang tidak dirancang. Kita hanya
melakukan perkara dan tindakan yang mengarah kepada hasil yang disasarkan.
Contohnya kita mahu hasil RM500 sehari melalui jualan di Facebook. Maka apakah
tindakan dan usaha yang perlu dilakukan?
Untuk berjaya berniaga di
Facebook ataupun berjaya melakukan pemasaran bisnes di Facebook, terdapat
beberapa perkara yang perlu kita ambil serius:
1.
Fokus pada satu jenis produk sahaja untuk satu Facebook Page
Contohnya, untuk Facebook
Page A, kita hanya jual produk pakaian wanita sahaja, manakala di Facebook Page
B, kita jual produk pakaian untuk lelaki dewasa. Begitulah bagi lain-lain jenis
produk.
Tujuan kita fokus satu
jenis produk pada satu page adalah agar prospek tidak keliru dan kita pula
mudah menguruskan jualan dengan lebih lancar. Selain itu, proses pemasaran
seperti melalui pengiklanan Facebook Ads akan lebih fokus dan menumpu.
2.
Fokus pada perancangan
Umpama pasukan tentera
dalam satu peperangan kalah dan menang di medan peperangan, sudah pasti mereka
akan berbekalkan perancangan dan strategi tersendiri. Apakah yang akan berlaku
apabila mereka tidak mengikuti strategi yang telah ditetapkan? Sudah pasti
pasukan itu akan kacau bilau, hilang tumpuan dan akhirnya boleh kecundang.
Begitu juga kita dalam
perniagaan di Facebook. Apabila kita telah mempunyai perancangan yang telah
jelas dan teratur, tanggungjawab kita adalah mengikut perancangan itu
sepenuhnya. Lakukan tindakan yang dirancang mengikut caranya dan pada masa yang
ditetapkan.
3.
Pastikan fokus pada tujuan bisnes sahaja.
Betapa ramai usahawan yang
mahu menjadi ‘hero’ di Facebook dengan menulis hal-hal politik, isu semasa dan
sebagainya. Tiada halangan untuk itu, tetapi apabila kita sudah terlebih sudu
daripada kuah, kita akan rugi. Perniagaan kita akan terabai, perancangan hanya
tinggal perancangan, dan banyak lagi kerugian akan berlaku.
Elakkan terlibat dengan
perbincangan isu-isu semasa di Facebook. Perbincangan sebegini di Facebook akan
menjadi sia-sia tanpa ada kawalan dan tujuan yang satu. Jika anda mahu terlibat
dengan politik semasa dan seumpamanya, medan sebenar adalah di dunia nyata,
bukan di Facebook.
Banyak menulis isu-isu
panas di Facebook hanya akan menimbulkan ketegangan , selain banyak maklumat
yang ditokok tambah dan diselewengkan. Selain itu, biar pihak yang lebih arif
sibuk dengan sesuatu isu. Tugas kita pula adalah menjana ekonomi diri sendiri,
keluarga dan negara.
Setkan minda, apabila kita
berada di Facebook, tujuan kita hanyalah satu, iaitu untuk bisnes sahaja.
Apabila kita serius untuk fokus, kita bukan sahaja meraih kejayaan untuk diri
sendiri, malah mampu memberi inspirasi kepada orang lain. Ini juga usaha dakwah
dan perjuangan, secara halus.
No comments:
Post a Comment